top of page
  • Izzuddin Ramli

Menyanyi dan Belajar Bersama Marjinal

Punk tidak hanya terbatas kepada muzik dan fesyen, ia lebih daripada itu.

Marjinal ketika mengadakan satu persembahan di Jakarta.
Marjinal ketika mengadakan satu persembahan di Jakarta. Gambar oleh Izzuddin Ramli.

Bagi mereka yang sudah lama melibatkan diri dalam aliran muzik keras terutamanya yang datang daripada negara-negara Asia Tenggara, mengenali Marjinal sebagai sebuah kumpulan muzik punk terbesar dari Indonesia adalah menjadi sebuah kemestian. Amat pelik keadaannya jika ada dalam kalangan peminat punk sendiri tidak pernah mendengar lagu-lagu mereka atau paling sederhana pernah mendengar nama kumpulan muzik ini. Apa tidaknya, Marjinal seakan-akan sudah menjadi sebuah ikon lebih-lebih lagi bagi mereka yang masih baru mencari gaya dalam mendengar atau bermain muzik punk.


Sedar atau tidak, kumpulan muzik yang mula ditubuhkan sekitar tahun 1996 ini telah meraikan tujuh belas tahun kewujudan mereka dalam arena muzik. Lagu-lagu yang sering dinyayikan oleh mereka kebanyakannya adalah bersifat ringkas, bermelodi dan penuh dengan pesan-pesan protes. Cukup dengan menggunakan kord-kord muzik yang ringkas, Marjinal mampu untuk menjadikan lagu-lagu mereka mudah untuk menjadi siulan anak muda. Tidak sedikit juga daripada kumpulan-kumpulan muzik tempatan yang sering menyayikan kembali lagu-lagu Marjinal dalam setiap persembahan mereka.


Pada tahun ini, Marjinal telah dan sedang mengadakan siri jelajah mereka di Malaysia dengan tema “Marjinal – Berseronok Tour Malaysia 2013. Penulis berkesempatan untuk mengikuti persembahan muzik mereka di Pulau Pinang yang turut menjadi salah sebuah negeri yang disinggahi. Bagi penulis yang sebelum ini hanya berpeluang mendengar muzik mereka melalui rakaman CD dan kaset sahaja, kehadiran Marjinal kali ini menjadi sebuah momen yang sangat bernilai – bagi yang hadir, mereka boleh menyanyikan bait-bait kata dari lagu dari Marjinal bersama-sama secara langsung. Masih ingat lagu pertama dari Marjinal yang berjaya penulis hafal suatu ketika dahulu iaitu “Marsinah”. Sebuah lagu tentang pembelaan terhadap buruh-buruh wanita yang sangat mengesankan.


Persembahan yang bermula sekitar pukul 9 malam dan berakhir pada pukul 12 pagi hari Selasa lalu ternyata mencatat kehadiran pengunjung yang luar dari kebiasaan iaitu hampir mencecah dua ratus orang. Ini diakui sendiri oleh pihak pengajur bahawa persembahan kali ini menjadi sebuah sejarah persembahan muzik di Pulau Pinang. Kehadiran pengunjung yang cukup ramai walaupun persembahannya yang diadakan pada hari bekerja adalah diluar jangkaan. Berbeza dengan jumlah sambutan terhadap siri-siri persembahan sebelum ini sekalipun diadakan pada hari minggu. Kehadiran Marjinal dan tiga buah kumpulan muzik bawah tanah tempatan seperti Street Boundaries, Personal Control System (PCS) dan Shitnoise Bastards sebagai kumpulan pembuka menjadi faktor utama jumlah kehadiran pengunjung yang ramai.


Lagu-lagu yang sarat dengan pendidikan


Terdapat beberapa buah lagu yang sempat juga penulis ikut menikmati pada malam itu. Antaranya ialah lagu Negri Ngeri, Hukum Rimba dan Rencong-Marencong yang bagi penulis lagu-lagu ini mengandung makna-makna yang sangat besar. Menariknya Marjinal ialah, setiap kali sebelum mendendangkan lagu, mereka terlebih dahulu akan memberikan sedikit penerangan ringkas terhadap lagu yang akan disampaikan. Ini kebiasaannya dilakukan adalah untuk memberi gambaran umum kepada para pendengar agar memudahkan mereka untuk menangkap pesan-pesan yang disampaikan ketika lagu dimainkan.


Di dalam lagu Negri Ngeri, Marjinal cuba untuk membawa kita menelusuri jalan-jalan kehidupan manusia yang penuh dengan ironi dan gambaran-gambaran indah yang tidak lebih dari sebuah kepalsuan. Rakyat miskin yang masih menempati posisi terbanyak diseluruh bahagian negara seringkali menjadi mangsa kerakusan kuasa pihak pemerintah. Orang-orang kecil yang lemah dikaburkan matanya dengan gambaran-gambaran palsu bahawa kekayaan alam yang ada adalah milik mereka dan untuk dinikmati. Namun, setiap kekayaan dan kesenangan yang dimiliki ini sebenarnya hanya dibolot oleh penguasa. Rakyat terus sahaja menikmati pembahagian ekonomi yang tidak adil dan yang memihak kepada para penguasa dan pemodal. Sedangkan rakyat dalam masa yang sama turut meratapi derita kemiskinan, pengangguran, pemerasan dan sebagainya. Ternyata melalui lagu Negri Ngeri ini, Marjinal berjaya meringkaskan gambaran ketidakadilan sosial dan politik yang berlaku dimana-mana hanya dengan beberapa baris ayat. Menakjubkan!


Begitu juga dengan lagu Hukum Rimba yang banyak menlontarkan pesan tentang tertegaknya hukum dan undang-undang yang tidak adil dan turut memihak kepada kepentingan penguasa. Ketika para penegak undang-undang serta para hakim dikawal dengan kepentingan wang, pribadi dan penguasa, maka sejauh itu keadilan untuk rakyat tidak mampu ditegakkan. Rasuah sebagai musuh besar bagi pembangunan masyarakat dan kemajuan negara akan terus menerus berlaku jika undang-undang terus dimanipulasikan dan hanya menjadi barang permainan penguasa.


Bagi lagu Rencong Marencong, ada sedikit kelainan. Lagu yang disuntik dengan rentak muzik tradisional yang rancak ini memberi sedikit hiburan yang berbeza kepada para pendengar. Kali ini pendengar dibawa untuk memahami pesan-pesan penting tentang persaudaraan – persaudaraan dengan mereka yang sama-sama tertindas. Melalui lagu ini, kita diingatkan bahawa manusia tidak mengira warna kulit, terlepas dari batas-batas negara dan benua adalah saling bersaudara. Kerana bersaudara, kepayahan hidup diajar untuk dirasai bersama. Ini jelas disembahkan dengan baik dalam petikan lirik, “Hei bagaimana kabar kawan-kawan, Apakah baik kondisimu disana, Kami disini sedang bernyanyi kawan, Akan senandung lagu rindu tentang kamu, Yang ada di timur, bagaimana kabarmu, Yang ada di barat, bagaimana kabarmu, Yang ada di utara, bagaimana kabarmu, Yang ada di selatan, bagaimana kabarmu”.


Muzik sebagai medium penyampai sampingan


Mengakui bahawa mereka pada tempat pertama bukanlah semata-mata sebuah kumpulan muzik, maka Marjinal yang dipelopori oleh beberapa orang anak muda yang sering bertukar ganti termasuk Bob dan Mike turut melakukan pelbagai aktiviti luar muzik yang berbentuk kemasyarakatan seperti aktiviti pendidikan kesenian, kebudayaan sehingga kepada protes-protes politik. Bagi Marjinal, pada dasarnya mereka bukanlah sebuah kumpulan muzik. Mereka hanya menjadikan muzik sebagai media untuk menyuarakan jeritan hati, sekaligus mewakili kesengsaraan rakyat. Kerana muzik dapat di terima masyarakat secara luas dan politik adalah sasaran.

Marjinal bersama peminat.
Marjinal bersama peminat. Gambar oleh Izzuddin Ramli.

Melalui sebuah komuniti yang dikenali sebagai Taring Babi yang juga ditubuhkan oleh kumpulan ini, segala aktiviti tadi digerakkan. Taring Babi menjadi tempat berkumpulnya para pengikut punk dari semua peringkat umur serta terbuka kepada sesiapa sahaja tidak kira dari mana mereka berasal. Di komuniti Taring Babi, mereka belajar secara berkongsi antara satu sama lain dengan satu matlamat iaitu tentang kehidupan dan cara meneruskannya. Aktiviti-aktiviti yang sering dijalankan termasuklah mencetak baju, mengukir kayu dan nyayian. Yang paling penting, mereka dididik untuk saling menjaga dan membantu antara satu sama lain.


Aktiviti yang ditawarkan oleh Marjinal dan Taring Babi ini menarik ramai anak muda terutamanya gelandangan-gelandangan di sekitar Jakarta dan seluruh pelosok Indonesia untuk mendekati mereka. Bagi gelandangan dan peminta sedekah yang minatnya untuk menyayi, maka mereka sama-sama berkongsi pengetahuan agar sesuatu yang dilakukan menjadi lebih kreatif dari sebelumnya.

Melalui muzik dan aksi langsung (direct action), Marjinal dan Taring Babi turut berkomitmen tinggi dalam perjuangan untuk menghapuskan diskriminasi dalam pelbagai perkara. Misalnya diskriminasi terhadap kaum pekerja, kanak-kanak serta wanita.


Perjuangan melawan penindasan serta menuntut kesetaraan dan keadilan ini membuatkan mereka tidak segan untuk bergabung dengan pelbagai gerakan-gerakan masyarakat arus perdana yang lain ataupun kumpulan-kumpulan muzik tempatan untuk membangunkan kegiatan dan kempen yang lebih inklusif dan kreatif. Ketidaksombongan Marjinal dan Taring Babi sebagai sebuah kumpulan muzik dan komuniti punk untuk menjalinkan hubungan yang erat dengan seluruh lapisan masyarakat membuatkan mereka juga tidak hanya popular dalam kalangan pengikut punk sahaja, malah turut dikagumi oleh kalangan yang berada diluar lingkungan komuniti.


Sebagai sebuah kumpulan muzik dan komuniti yang turut bergiat aktif dalam kegiatan kesenian, menjadi suatu penghormatan yang besar bagi Marjinal dan komuniti Taring Babi apabila dijemput untuk mengadakan persembahan seni lukisan dan ukiran di Eropah. Pada tahun 2010, mereka mempamerkan hasil seni serta sekaligus mengadakan bengkel di German sebagai suatu bentuk perkongsian pengalaman yang dilakukan oleh mereka selama ini. Marjinal sepertimana yang lain, lahir dari kalangan anak muda yang resah dengan kepincangan yang berlaku dalam masyarakat. Kemudian membesar dan berkembang sehingga kewujudan mereka disedari dan kemudian mampu memberi sesuatu kepada masyarakat walaupun dengan cara sendiri – cara yang melawan arus perdana.


Apa yang boleh dipelajari?


Memahami punk tidak harus terbatas hanya pada soal fesyen atau muzik sahaja, malah harus lebih daripada itu. Bagi Marjinal, “punk adalah sebuah kata yang tidak perlu dipertanyakan apa ertinya, kerana yang lebih penting adalah apa yang sedang dan akan dilakukan oleh seorang punker”. Pesan yang boleh kita fahami daripada kata-kata ini paling mudah ialah, orang boleh sahaja menjadi punk sekalipun tidak berjeans ketat, ber-patches dan ber-spike sana-sini, ber-boot tinggi atau berbaju band. Paling utama, cara kita berfikir dan bertindak apabila mengakui bahawa kita adalah punk.


Falsafah yang dipegang ini menjadikan kewujudan Marjinal dan komuniti Taring Babi penting dalam komuniti punk secara khusus dan didalam masyarakat luas secara umum. Paling penting bagi mereka ialah untuk keluar daripada keinginan diri untuk menjadi selebriti atau bintang muzik yang mengejar populariti sekalipun dalam komuniti sendiri. Yang lebih bermakna ialah ketika mampu untuk menyampaikan pesanan dan aspirasi kepada rakyat – dan muzik hanyalah sebagai satu alat komunikasi untuk mengangkat persoalan-persoalan masyarakat.

Comments


bottom of page