Dengan wadah fizikal seperti piring hitam juga, kita kembali bertenang-tenang dengan masa, keluar menjelajah, bertemu orang, dan akhirnya merasa memiliki muzik.
Seperti membaca novel atau puisi, mendengar muzik adalah suatu pengalaman yang sangat peribadi. Kita menghadam lalu mentafsirkan apa sahaja muzik atau lagu yang tertuang ke lubang telinga kita dengan cara berbeza. Ambil misalnya lagu Senja Nan Merah nyanyian Awie dan Ziana Zain. Saya kurang pasti kisah berkasih-kasihan apa yang ingin disampaikan M. Nasir dan Loloq sewaktu menggubahnya. Namun, lagu tersebut cukup untuk mengingatkan saya kepada hidupan pada suatu zaman yang saya kira paling menarik di Malaysia. Kerana itu, ketika usia remaja, saya sudah cukup senang kalau sekadar bersendirian di bilik tidur, memutarkan lagu-lagu kegemaran.
Tidak banyak yang boleh diharapkan di Kelantan pada tahun 2000-an. Konsert atau pesta muzik tiada atau tidak sesering di tempat-tempat lain. Acara keramaian sedemikian sudah tidak mudah untuk dianjurkan. Untung orang masih boleh ke warung-warung karaoke untuk berdendang. Jarang-jarang, ada persembahan dikir barat yang boleh saya kunjungi dengan tiket seringgit. Di situ—di padang dan di celah-celah kebun getah—muzik lebih memainkan peranan sosialnya. Orang kampung berkerumun mendengarkan suara Zaidi Buluh Perindu, Megat Nordin, dan Jen Endoro memecah sunyi malam.
Maka, dalam segala keterbatasan, dengan radio (tepatnya stereo kereta), saya lebih banyak mencipta khayalan-khayalan sendiri. Melalui muzik dan lagu-lagu, saya meneroka ke pelbagai kenyataan baharu lewat rentak dan irama yang datangnya dari pelbagai tempat. Pada waktu itu, banyak dari Amerika dan beberapa dari Eropah. Sesekali, saya juga menjejak alam baharu secara lebih perlahan dengan muzik-muzik pop dan balada Melayu tempatan. Ternyata, muzik bukan sekadar menghibur. Melalui muzik juga saya belajar memahami sekeliling.
***
Saya kira, pengalaman mendengarkan muzik kurang lebih begitu ketika orang belum lagi memutarkan lagu secara digital seperti hari ini. Pada hari ini, mencari dan mendengar lagu sudah menjadi terlalu mudah dengan adanya Youtube atau Spotify. Kita tinggal menaip nama lagu dan menekan butang “main” sahaja. Mendengar muzik dan lagu juga terlalu mudah sehingga boleh dimainkan atau dihentikan pada bila-bila masa tidak mengira tempat.
Sewaktu remaja, saya tidak pernah berpeluang untuk mendekati piring hitam—wadah mendengar muzik terawal dan masih ada sehingga ke hari ini. Harganya mahal, alat pemainnya juga saya tidak ada. Jadi, muzik yang saya dengar umumnya keluar dari kaset ataupun cakera padat (CD). Harganya jauh lebih murah dan lebih tersedia. Tidak ada cara lain lagi sehinggalah pada waktu-waktu terkemudian ketika lagu-lagu boleh dimuat turun dengan percuma dalam bentuk mp3.
Namun, mendengar lagu lewat wadah-wadah fizikal seperti itu, kita menjadi lebih terpaku di kerusi, hadir di hadapan muzik, dan turut serta dalam sebuah kerja penciptaan. Hal ini yang tidak dapat diberikan oleh wadah digital, setidak-tidaknya kepada saya. Bagi saya, mendengar muzik di telefon bimbit telah menghilangkan banyak proses yang dilalui oleh seseorang pendengar muzik lewat wadah fizikal. Kerana terlalu mudah, mungkin kita sudah jarang sekali duduk memegang, merenung, dan berbual-berbual tentang penyanyi-penyanyi atau karya-karya yang kita dengar.
Muzik, lewat bentuk fizikal, menuntut usaha dan perhatian yang lebih. Manakan tidak, seluruh prosesnya boleh dikatakan manual dan renyah. Saya perlu menunggu berbulan-bulan hanya untuk membeli sekeping album yang tidak banyak jualnya di pekan-pekan terdekat. Selalu juga, saya dan teman-teman menukar dengar kaset dan CD kepunyaan kami. Hanya pada ketika itu suatu pengalaman yang sebelumnya bersifat peribadi menjadi sosial. Kami mencipta dunia, minat, dan bertutur dengan bahasa yang dikongsi bersama.
***
Mungkin kerana wabak atau mungkin juga tidak. Namun, sejak kebelakangan ini, orang mulai kembali ke wadah fizikal. Jualan kaset, CD, dan piring hitam khususnya semakin laku di pasaran. Di Amerika sahaja, menurut satu laporan yang dipetik oleh majalah The Atlantic, selain daripada minat orang terhadap lagu-lagu lama (70-an dan 80-an) yang semakin meningkat, piring hitam juga dikatakan menjadi wadah fizikal yang paling banyak dibeli.
Tidak pelik kalau gejala sedemikian terjadi kerana orang mungkin sedang mengalami kepenatan digital. Di komputer atau di telefon pintar, bunyi dan rupa bercampur aduk dalam ruang yang sama, beradu untuk meraih perhatian. Orang juga mungkin sudah semakin penat bergantung kepada mesin algoritma dalam memilih dan menentukan selera mendengar atau melihat.
Saya tidak terkecuali dalam pasaran ini. Kerana tidak pernah mencuba piring hitam, saya ikut terjun bersama. Bagi saya, suara garau penyanyi jazz seperti Billie Holiday, atau bunyi trompet Chet Baker misalnya hanya sesuai di atas piring hitam. Namun, lebih daripada sekadar ikut berenang bersama arus, ada hal lain yang turut mendorong: keinginan untuk mendengar dengan lebih tekun dan menyumbang dengan lebih dekat kepada proses penghasilan sesuatu produk yang saya hadam. Seperti kaset dan CD, wadah muzik yang paling tua itu menawarkan peluang ini.
Dengan piring hitam, kita mendengar dan mampu “menyentuh” muzik melalui alur-alur halus yang tergores panjang. Memang proses mendengarkan muzik dan lagu mengikut gaya lama ini perlahan dan renyah. Namun, kita diajarkan untuk lebih menghargai keseluruhan proses penciptaan muzik, baik dari penghasilan lagu, kerja-kerja penerbitan, sehinggalah kepada sampai ke telinga pendengar. Dengan wadah fizikal seperti piring hitam juga, kita kembali bertenang-tenang dengan masa, keluar menjelajah, bertemu orang, dan akhirnya merasa memiliki muzik.
* Esei ini pertama kali diterbitkan di Suara Nadi, 11 Mac 2022.
Comments