top of page
Izzuddin Ramli

Kisah Bermudik ke Kelantan

Updated: Mar 29, 2022

Jikalaulah tiada dipakaikan hatta seurat benang, maka bertebaranlah kereta-kereta di jalan merempuh sesama. Maka tercabutlah serban dan kopiah para ustaz.

Ramai penduduk Kelantan masih hidup dalam keadaan daif terutama di kawasan pedalaman.
Ramai penduduk Kelantan masih hidup dalam keadaan daif terutama di kawasan pedalaman. – Gambar fail The Malaysian Insight.

Bahawa sampailah juga hari mengenang kelahiran Nabi Isa. Maka setelah sekian lamanya tidur dan bangun di negeri yang diperintah oleh DAP ini, terasa rindulah sekali hati untuk berangkat pulang. Hampir satu dasawarsa sudah barangkali tidak menghidu udara negeri yang katanya mahsyur dengan gelar serambi Mekah nun jauh di pantai timur. Negeri yang agama dan orangnya, bagai keris dan sarung, tiada pernah ia berpisah. Adalah agama itu menjadi penonton tingkah laku masyarakatnya. Sedari mata mencelik melihat dunia, sehinggalah ke alam kubur.


Diriwayatkan juga laki-laki dan perempuan, muda dan tua elok rupanya, teguh sekali imannya. Hari Jumaat, masuknya Zohor, yang berjual-jualan semuanya bubar, berarak-arakan menuju ke masjid. Maka tiada berani satupun kedai buka, satu batang tubuh lelakipun tiada kelihatan tatkala khutbah berkumandang.

Di bulan Ramadhan, tatkala penganut Islamnya semua berpuasa, McDonald’s dan KFC yang tiada beragama itu juga ikut semuanya beribadat, tiada lain selain kerana percaya akan yang minoriti itu harus menghormati majoriti.


Di negeri ini juga, orang berbicara agama tiadalah berhenti barang sekali. Di surau-surau, di pinggir-pinggir jalan, di pasar-pasar tani, gegak gempita suara para ustaz bertubi-tubi menumbuk gegendang telinga. Orang patuh mendengar dengan mata terpejam, mengangguk-angguk tiada berani bertanya. Sudah tersebar ke seluruh pelosok alam akan ibu negerinya itu dikenal dengan gelar bandar raya Islam.


Tiadalah sahaya tergamak berdusta. Di dinding-dinding pasar malah di pintu-pintu jamban, sudah tertampal pesanan-pesanan akan bandar ini bandar yang beragama, agar tiada sesekali orang lupa apa lagi tersesat. Ketika menyusur jalan-jalan melewati daerah-daerah kecil di negeri ini, sempat juga sahaya memandang iklan-iklan segala macam produk yang peragawan dan peragawatinya kemas pakaiannya menutup tubuh hatta untuk iklan seluar dalam.


Maka benar, yang diutamakan ketika berpakaian itu adalah kenyamanan dahulu, baru kemudian warnanya. Jikalaulah tiada dipakaikan hatta seurat benang, maka bertebaranlah kereta-kereta di jalan merempuh sesama. Maka tercabutlah serban dan kopiah para ustaz. Itulah yang tiada dimahukan oleh pemerintah negeri yang Islami ini. Katanya, hidup harus berlandas agama. Tiadalah apa ertinya pembangunan, jika perempuannya tiada menutup pusat. Tiadalah ingin pemimpinnya melihat rakyat sendiri terhumban ke neraka, hanya kerana sebuah panggung wayang. Biarlah tiada bersuka-ria, hendaknya terlepas daripada murka Allah.


Adapun rakyat yang masih berlapar, rumah mereka tiada beratap itu adalah kerana belum tertegaknya hukum Allah. Kata menterinya, kelambatan pembangunan di negeri itu adalah barang disengajakan. Masakan mahu dipercepat, tiadalah sanggup melihat orang kampung bermabuk-mabuk arak seperti meneguk air sejuk di tepi jalan.


Arakian, maka dibangunlah gedung-gedung yang seni binanya Islami, tiadalah berbeza barang sedikit dengan gedung-gedung di tanah Arab. Tiadalah negeri yang lebih Islam daripada Islamnya negeri ini. Pohon-pohon kurma ditanam merata agar terasa suasana Islamnya, adapun pohon-pohon itu tiada ikut berbuah tatkala pohon-pohon kurma yang di Mesir sudahpun berbuah.


Yang berjubah dan berserban itu maka menjadi lebih mulia daripada yang bersarung. Negeri Serendah Sekebun Bunga ini, kata ramai pengembara dan pencatit banyaklah sekali sekolah pondok dan madrasah. Orang kampung yang anak-anak muda tiada ingin menjadi orang dicampaknya mereka ke sini. Maka menjadilah manusia.


Begitulah cerita yang sudah menjadi buah mulut orang di seluruh semesta. Negeri yang diperintah parti bulan ini makmur sekali, indah pekerti orangnya, alim sekali para pemimpinnya. Tiadalah orang yang tiada suka akan negeri ini. Maka, sahaya yang tiada mudik sudah sekian lama ini turut berasa senang sekali hatinya.


Sungguhpun sahaya mudik itu, tiada juga lepas hati sahaya daripada memikirkan segala perkara yang sahaya dengar akan negeri ini. Maka adalah kira-kira lima jam lamanya perjalanan, sampailah sahaya di kota Islam yang sentosa ini, berdiamlah sahaya beberapa hari di kampung tempat sahaya lahir dan bermain.


Suatu petang, ketika sahaya enak beristirehat, didatangilah sahaya oleh seorang tetangga, berkopiah putih, bersarung singkat dan tiadalah ia berbaju. Orangnya rajin sekali dalam parti bulan yang sudah memerintah negeri itu lebih dua dasawarsa. Diceritakanlah akan kedai runcitnya yang tiada lama sebelum sahaya mudik mendapat celaka kerana dimasuki pencuri. Si pencuri Maggi dan Milo itu sudah ditangkap oleh seorang encik yang kebetulan sedang berkehulu-kehilir meronda pada malam kejadian.


Tiadalah ingin dia meronda jika tiada kerana marah akan berkampit-kampit baja subsidi kepunyaannya yang turut sama hilang dicuri beberapa minggu sebelum.

Tiadalah dapat diberi bukti apakah gerangan pencuri sama yang mengebas baja-baja subsidi itu. Adapun demikian, tiadalah sedikit orang berkisah bahawa itu tiadalah lain daripada kerja anak jantannya sendiri yang sehari-hari kerjanya hanya memerap di rumah. Tiada melakukan sebarang kerja hatta menebas rumput.


Sahaya yang sudah mula merasa gelisah dan keliru itu ditubi lagi oleh si tetangga orang parti bulan yang berkeluh-kesah itu dengan cerita akan orang muda-mudi di kampung yang semakin hari semakin bertambah mereka yang tiada kerjanya, namun hidup mahu sahaja ikut bermewah-mewahan.

Pasar Siti Khadijah.
Pasar Siti Khadijah. Gambar ehsan The Malaysian Insight oleh Zainal Abd Halim.

Di kampung sebelah, projek oleh JKKKP untuk membuka sebuah gelanggang sepak takraw tiadalah siap lagi walau sudah lebih tiga tahun hanya kerana simen-simen sering sahaja hilang. Maka mencari akallah orang kampung untuk menjerat si pengkhianat itu. Setelah tertangkap, maka gemparlah orang kampung, merah padam rupa setiap seorang tiada tertahan rasa malu.


Tiadalah buruh Indonesia yang membawa bala itu, akan tetapi pemuda kampung sendiri yang tiadalah lain kariernya selain mencuri. “Ini tiada lain kalau bukan kerana pil kuda!”, tengking si tetangga itu. “candu yang dibawa masuk dari Siam.

Tiadalah sedikit orang muda yang bercerai-berai rumah tangganya kerana pil setan itu”, sambung ia.


Maka melompatlah sahaya terkena sergahan itu. Si tetangga sahaya itu bercerita, nun di hujung kampung adalah sebuah kandang kambing. Di belakang kandang kambing itulah mereka bersuka-suka. “Tiadalah jalan lain untuk menyelamatkan orang kampung selain menghidupkan hukum hudud di negeri ini”, tegas si tetangga itu tatkala menjentik habuk rokok daunnya ke tanah. Amatlah yakin ia akan hujahnya itu.


Rasa keliru sahaya berubah menjadi gusar. Bertanya dalam hati sahaya, apakah benar negeri yang sahaya mudik ini? Wajah-wajah Islami yang sahaya bayang-bayangkan sebelumnya tiadalah satu yang mengena. Syahdan, maka adalah dalam antara sekalian perkara itu, ada satu perkara lain yang dikisahkan kepada sahaya, iaitu akan kemalasan orang kampung yang tiada ingin menjaga kebersihan.


Tatkala menyusuri jalan-jalan kecil di kampung, lorong-lorong di daerah kota, maka jelas banyaklah timbunan sampah yang tiada berkutip. Adapun yang tua mahupun muda, yang beriman atau yang tiada imannya tiadalah tahu akan agama juga menuntut kebersihan. Di rumah-rumah yang dibangun di tepi-tepi parit dan sungai tiadalah tong sampah, maka dibuanglah sampah di tebing-tebing parit dan sungai atau dilonggokkan di tiang elektrik.


Adapun orang kampung tiada sedikit yang beranak ramai, tiadalah mereka tahu membuang lampin anak pada tempatnya. Majlis daerah malaslah sekali geraknya, jarang sekali datang untuk mengutip. Dengan nada mengeluh, si tetangga ini berkata bahawa negeri ini jugalah orang yang terjangkit virus Aids paling ramai jumlahnya padahal sudah diharam berniaga tuak masam, apatah lagi mengadakan pesta-pesta arak.


Sudah sekian banyak nama-nama Allah dipacak di tepi-tepi jalan, gedung-gedung pasar sudah dipasangkan kubah-kubah bawang agar tampak seperti masjid, agar orang senantiasa mengingat Tuhan, akan tiadalah juga menjadi. Sahaya diam tiada berbicara barang sepatah. Barangkali, yang mengukur Islaminya tidak negeri parti bulan ini bukanlah berapa banyak pohon kurma yang ditanam, berapa keras para pemimpin lebainya memarahi perempuan yang tiada memakai tudung, atau berapa besar serbannya.


Tetapi, berapa makmur ekonominya agar muda-mudinya mendapat kerja, akan kemampuan para pemimpinnya memerintah agar kekayaan dapat dijamah bersama, tiada hanya dibolot oleh sebilangan pemimpin. Mungkin juga yang menjadi pengukur akan Islaminya tidak kita adalah ketika orang yang agamanya bermacam-macam lainlah itu berasa terbela dan turut sama dihormati. Orang mampu berpergian ke sana sini dengan mudah dengan adanya sistem pengangkutan awam yang baik, jalan-jalannya bagus.


Bukankah agama juga mengajar agar kita tiadanya merosak alam menebas hutan sesuka hati? Agama tiada hanya menyuruh untuk menghafal, tapi juga untuk menghasil, bukan? Mungkin ada benarnya. Di sebalik citra-citra Islami yang sahaya dengar di Facebook, radio dan televisyen itu, ada citra lain yang memang tiada menyenangkan juga di negeri ini.


Negeri ini tiadalah banyak peluang-peluang kerjanya. Tiada sedikit orang muda berkelana mencuba nasib di tempat orang seperti dirinya sahaya. Adapun yang masih tinggal di kampung ini tiadalah juga berani berubah apalagi menderhaka.




*Esei ini pertama kali diterbitkan di The Malaysian Insight, 29 Disember 2017.

Comentarios


bottom of page