Kewibawaan raja di dunia tampaknya tetap perlu diraih dari rakyat, biarpun orang percaya takhtanya dibawa turun dari langit.
SAAT Ibrahim, atas perintah tuhan, mengangkat bilah pedang untuk menghabiskan riwayat anaknya, Ismail, di Mekah, baginda berdiri antara dua cabang kesetiaan yang perlu dipilih. Antara kasih terhadap zuriat sendiri dan kesetiaan kepada kuasa yang baginya lebih besar dan suci. Ibrahim akhirnya memilih untuk berpihak kepada cinta yang maha agung, cinta kepada Penciptanya.
Memang manusia dalam sejarahnya tidak pernah terlepas daripada memikul beban berat untuk memilih. Nabi yang digelar Khalil Ullah itu menyedari bahawa hidup adalah pentas tempat pilihan-pilihan dihadapkan. Manusia memilih dan berpihak untuk kelangsungan hidup, dan ketika memilih, pasti ada yang perlu menjadi korban atau dilepaskan untuk manfaat yang lebih besar.
Seekor ayam yang menggelupur ketika membentengi anak-anaknya daripada dibaham ular, dipandu oleh kenyataan bahawa hidup adalah tentang bentangan pilihan. Ada yang lebih bermakna terpaksa dipilih untuk dibela. Ia memperhitungkan benih, lebih daripada batang tubuh anak itu sendiri. Benih yang menjadi penentu keberlangsungan spesisnya pada masa hadapan, sekalipun perlu mempertaruhkan jasad sendiri, dan ia memilih untuk mempertahankan itu.
Baik secara alami ataupun sedar, hidup terus bergelut dalam pemilihan. Seorang sejarawan Australia, Anthony Milner berkata, pada abad kesembilan belas, ketika orang di rantau ini masih belum mengenal betul batas-batas politik mereka, ada seorang petani tua di sebuah kebun di antara wilayah kekuasaan Kelantan dan Terengganu terpaksa memilih untuk memihak ketika sang raja dari kedua-dua negeri itu – yang masih bingung akan sempadan wilayah masing-masing – datang menuntut kepastian. Mudah sekali, sempadan wilayah hanya ditanda melalui kehadiran manusia di sesuatu kawasan dan kepada siapa ia menyerah diri.
Sang petani terpaksa memilih antara dua kuasa politik yang jelas tidak mampu ia patahkan dengan batang tubuh keringnya. Ia perlu berpihak sekalipun hatinya mungkin menyebut, “penyerahan aku hanyalah kepada tanah ini yang tanpa putus aku kerjakan setiap pagi”.
Baginya, kesetiaan hanyalah kepada roda alami hidup yang tidak pernah berhenti berputar, dan dia hanyalah salah seorang pemain.
Sang petani itu memilih kerana dia pada akhirnya sedar bahawa dia tidak keseorangan. Ia memilih, kerana maslahat masyarakat baginya adalah lebih besar. Ia sama-sekali bukan menyerah diri tetapi menjadi sebahagian dari yang lain menentukan nasib secara bersama.
Tetapi, sang petani boleh sahaja untuk tidak memilih antara kedua-duanya, bukan? Setidak-tidaknya, ia mungkin memilih untuk menjadi sederhana, berkecuali atau yang sering disebut hari ini, neutral. Memilih untuk tidak bersama dengan yang lain sebagai satu komuniti.
Pada zaman kerajaan lama di rantau ini, memang benar bahawa orang sering bertukar selera pemerintah atau lari dan kemudian mengasingkan diri dari politik. Sultan Kutei di Borneo pada awal abad kelima belas ketika bertakhta di istananya mengeluh apabila ramai orang Dayak mula berarak keluar dari kekuasaannya. Sultan Deli yang bernaung di Sumatra Timur pada abad yang sama juga merasa malu apabila menyedari bahawa jumlah rakyatnya kian hari kian merosot.
Menakut-nakutkan pemerintah tampaknya lebih mudah. Hanya dengan kuasa rakyat yang melucutkan taat setia dan kemudian berpindah ke kekuasaan lain. Tidak menghairankan, kerana yang diburu oleh para raja pada waktu itu bukanlah semata-mata kemewahan materialistik, tetapi juga nama, sanjungan serta bilangan rakyat yang ramai dan setia.
Kewibawaan raja di dunia tampaknya tetap perlu diraih dari rakyat, biarpun orang percaya takhtanya dibawa turun dari langit.
Menjadi sederhana memang menyenangkan, seperti kata Nabi Muhammad bahawa sebaik-baik perkara ialah di tengah-tengah. Namun, menjadi sederhana, tidak memilih atau tidak berpihak pada hari ini nampaknya merbahaya. Ia menggerunkan tatkala rakyat bukan lagi menjadi perhitungan pemerintah. Ketidakpedulian bukan lagi senjata ampuh apabila sikap apolitikal rakyat berhujung kepada malapetaka yang lebih besar.
Orang mengeluh tatkala subsidi gula dan minyak masak dipotong dan cukai GST dilaksanakan. Ramai orang bingung, kerana orang memilih untuk tidak peduli dan tidak memihak ketika projek gagal 1MDB terjerat hutang berpuluh bilion ringgit dan wang rakyat diseleweng oleh pemimpin sendiri terbongkar.
Sikap tidak peduli dan tidak berpihak rakyat akhirnya tidak menguntungkan diri sendiri. Ia justeru menjadi peluru percuma untuk para pemimpin kotor.
Memilih untuk berpihak dan peduli akhirnya bermaksud merampas kembali kuasa rakyat. Ia adalah pengembalian erti rakyat sebagai pusat kekuasaan. Rakyat sebagai penentu nasib sendiri.
Orang kemudian bertanya apa maknanya memilih jika pilihannya hanyalah Coca-cola dan Pepsi?
Kita lalu menjawab, begitulah demokrasi, yang dipilih bukanlah orang yang akan menguasai dan mengawal. Orang memilih wakil yang kerjanya seperti pembantu rumah, membantu menguruskan soal ekonomi harian, pendidikan dan lain-lain. Namun ia hanya berlaku dalam persekitaran warga yang aktif dan peduli.
Dalam ucapannya di Dewan Rakyat United Kingdom pada tahun 1947, Winston Churchill berkata, demokrasi bukanlah sistem politik yang terbaik, tetapi ia lebih baik dari sistem-sistem yang lain. Ada benarnya juga. Setidak-tidaknya kuasa untuk menentukan kini kembali ke tangan rakyat dan selalu ada peluang untuk bertukar angin. Idealnya begitu.
*Esei ini pertama kali diterbitkan di The Malaysian Insight, 17 Februari 2018.
Comments