top of page
  • Izzuddin Ramli

Apa salahnya dengan Arab?

Updated: Jul 4, 2022

Apakah budaya pemakaian jubah di Malaysia hari ini masih memiliki hubungan secara langsung dengan Arab?

Isu identiti khususnya kerisauan sebahagian pihak dengan pengaliran budaya Arab ke dalam budaya Melayu kembali menjadi perdebatan hangat kebelakangan ini.

Riuh-rendah ini timbul berikutan sultan Johor dalam kenyataannya beberapa minggu lalu mengajak orang Melayu untuk kembali memperkukuhkan budaya mereka sendiri daripada terpengaruh dengan budaya Arab.


Sultan Johor antara lain turut mempersoalkan tabiat orang Melayu yang pada hari ini sering menggunakan istilah Arab dalam percakapan harian. Hal ini misalnya penggunaan kata eid al- fitr dan iftar , walhal bahasa Melayu sendiri menurutnya sudah memiliki istilah yang sesuai untuk menggambarkan istilah-istilah ini iaitu hari raya dan berbuka puasa. Kenyataan sultan Johor ini lahir berikutan wujudnya tekanan yang kuat terhadap pemakaian tudung dan meningkatnya populariti jubah bagi perempuan Muslim di negara ini.


Bagi sesetengah pihak, ini adalah proses ‘Arabisasi’ yang sedang melanda orang Melayu. Lebih menarik, penulis seperti Mariam Mokhtar dalam rencananya melagukan nada kerisauan namun mencampuradukkan gaya pemakaian, seni bina dan bahasa yang kini banyak didakap oleh orang Melayu dengan sifat budaya Arab yang menurutnya kasar dan menindas.


Keterbukaan budaya Melayu


Pertama sekali, sebelum kita memberikan apa-apa penilaian, perlu terlebih dahulu kita fahami sifat budaya dan orang Melayu iaitu konteks kepada permasalahan ini sendiri. Budaya Melayu sejak berabad lamanya sudah masyhur dengan sifat keterbukaannya. Sifat keterbukaan ini bermaksud, Melayu sedari awal keberadaannya lagi sudah mesra terhadap hubungan dengan dunia luar. Sifat meraikan sesuatu di luar kebudayaannya dapat ditilik melalui ciri-ciri awal orang Melayu yang terkenal sebagai masyarakat maritim yang terdedah kepada sentuhan dan cubitan budaya lain.


Pada sekitar abad ketujuh belas dan kelapan belas misalnya, masyarakat Melayu sendiri tersebar di pesisir Laut Jawa, Selat Melaka dan Laut Cina Selatan.

Interaksi orang Melayu dengan masyarakat dari latar budaya lain bukan sekadar dalam hal ekonomi malah juga dari segi nilai dan budaya.


Lebih menarik, interaksi ini tidak hanya berlaku secara sehala. Dengan sifat maritim serta pelayar, orang Melayu sendiri tersebar luas ke merata pelosok dunia.

Sifat yang secara sejarah dan alami ini menjadikan budaya dan orang Melayu lebih majmuk sebagaimana yang dapat kita lihat pada hari ini, baik dari segi pakaian, makanan, muzik mahupun ritual kehidupan harian. Sifat keterbukaan ini secara tidak langsung telah memperkayakan budaya Melayu itu sendiri.


Dalam aspek makanan misalnya, kewujudan pelbagai jenis gulai dan kari yang sarat dengan pelbagai rempah ratusnya jelas kali pekat dengan pengaruh India.

Ini tidak sama sekali dipermasalahkan oleh orang Melayu sejak zaman berzaman.

Kepelbagaian budaya luar ini diambil kemudian ditapis dan disesuaikan dengan budaya tempatan.


Maka begitulah ketika kebudayaan Barat sekalipun datang, benih yang baik akan ditanam, yang buruk akan dibuang. Dengan terbuka lebarnya pintu kebudayaan Melayu ini terhadap budaya-budaya lain, timbul pertanyaan akan kenapa kepada Arab pintu ini seakan-akan ingin dikunci, sedang kepada Barat (misalnya) tidak pula demikian?


Peminjaman istilah


Ketika dibangkitkan soal istilah, harus diingat bahawa bahasa apapun adalah dinamik sifatnya. Dengan sifat dinamik ini, tidak hanya bahasa Melayu, malah bahasa-bahasa lain di dunia akan senantiasa mengalami perubahan khususnya melalui aktiviti peminjaman. Bahasa Melayu yang kita guna pada hari ini berselirat dengan unsur-unsur luar seperti Sanskrit, Jawa, Cina, Tamil, Portugis, Inggeris malahan Arab. Tidak sedikit istilah Arab yang digunapakai dan telah kita ‘Melayukan’. Bagaimana dengan kata ‘fikir’, ‘ahli’ atau ‘ilmu’? Kata puasa itu sendiri juga berasal dari kata Sanskrit iaitu, upavasa.


Hubungan sistem politik antara Tanah Melayu dan British suatu ketika dahulu menjadi muara menjadikan banyak istilah Inggeris mengalir masuk. Malah pada hari ini, peminjaman secara meluas teknologi-teknologi Barat menjadikan lebih banyak istilah Inggeris diguna pakai. Begitu juga persamaan dari segi agama iaitu Islam antara Tanah Melayu dan Arab maka peminjaman istilah turut sama berlaku.


Jubah dan hubungan dengan Arab


Seperkara lagi yang dibangkitkan oleh Mariam Mokhtar dalam rencananya yang lain ialah tentang pemakaian jubah. Beliau secara sinis mempersoalkan pemakaian jubah oleh perempuan Muslim seolah-olah mereka akan menghadapi ribut pasir, sebagaimana di Arab. Namun pertanyaan lain adalah, apakah budaya pemakaian jubah di Malaysia hari ini masih memiliki hubungan secara langsung dengan Arab? Saya rasa tidak.


Pemilihan wanita hari ini untuk memakai jubah umumnya adalah kerana sifat praktikal jubah itu sendiri. Jubah memudahkan wanita untuk menunaikan solat terutama sekali ketika berada di luar atau ke acara-acara tertentu. Apabila di rumah, tetap sahaja mereka memakai sarung batik atau kadang-kala hanya berkemban.


Hal ini jika diteliti dengan baik merupakan suatu bentuk perlawanan, iaitu perlawanan ke atas sikap dogmatik yang selama ini dipegang bahawa untuk menunaikan solat, perlunya memakai telekung. Malah kadang-kala mereka tidak boleh menunaikan solat kerana terlupa untuk membawa telekung atau telekung yang disediakan di masjid tidak mencukupi.


Jadi, apakah memakai tudung atau jubah lebih-lebih lagi atas sebab praktikaliti dan pilihan mereka sendiri merupakan suatu bentuk penindasan?


Kerisauan Mariam Mokhtar tentang kemungkinan berlakunya kawalan ke atas kebebasan fizikal yang berawal dari pemakaian tudung atau jubah, seperti halangan ke atas wanita untuk keluar dari rumah atau kemungkinan perempuan Melayu tidak dibenarkan memandu kereta dan sebagainya adalah tidak masuk akal.


Bagaimana pula jika sebaliknya berlaku apabila wanita melakukan perubahan, melawan kebiasaan iaitu dengan menjadikan pemakaian baju kurung untuk solat sebagai sesuatu yang baru?


Melayu sehari-hari


Dengan mengesampingkan dahulu pengaruh-pengaruh seperti derma-derma oleh para saudagar minyak Arab dan gerakan dakwah yang menyebabkan berlakunya proses ‘Arabisasi’ sebagaimana yang dinyatakan oleh Mariam Mokhtar dalam artikelnya, berapa banyakkah pintu lain yang terbuka untuk orang Melayu menggilai Arab?


Berapa banyakkah peluang orang Melayu untuk bersentuhan dengan Arab dalam kehidupan sehari-hari? Lihat sahaja misalnya, setiap petang diluangkan dengan menonton drama-drama Melayu di TV. Hujung minggu pula menonton filem Hindustan dalam segmen Panggung Sabtu. Tidak pula setiap hari melahap kambing panggang dan nasi mandy.


Anak-anak muda ke kelab-kelab malam tidak didendangkan dengan muzik dan lagu-lagu Arab. Di Kelantan, dikir barat atau dangdut Adik Wanie lagi enak di dengar bersama pisang goreng pada waktu petang. Untuk melihat Arab, orang Melayu hanya pergi ke Mekah, itu pun sekali seumur hidup. Yang mungkin terjadi hanyalah pertembungan antara Arab dan Barat, dan Melayu memilih untuk membela yang mana satu.


Begitu penulis seperti Mariam Mokhtar hanyalah seorang penjaga pintu budaya Melayu yang hanya memberi laluan kepada Barat namun menyekat yang elok dari Arab.


Jika beliau percaya kepada perlu dikembalikannya budaya Melayu, maka beliau harus percaya sifat keterbukaan dan kebijaksanaan orang Melayu itu sendiri untuk meminjam apa sahaja yang luar dari kebudayaannya adalah sebahagian dari budaya Melayu juga.



*Artikel ini pertama kali diterbitkan di Malaysiakini, 6 April 2016.

Commentaires


bottom of page