top of page
  • Izzuddin Ramli

Orang Besut: Anak Terengganu, Kelantan Pelihara?

Orang Besut adalah mereka yang masih terselamat dari projek-projek politik PAS selama ini.

Sebuah tasik yang terletak di Kuala Besut.
Sebuah tasik yang terletak di Kuala Besut. Gambar oleh Izzuddin Ramli.

Pilihanraya umum ke-13 baru sahaja berlalu. Namun, belum sempat untuk berpanas punggung, akan berlangsung lagi satu pilihanraya baru, pilihanraya kecil yang sekali lagi akan menyaksikan pertembungan antara dua parti besar iaitu PAS dan juga UMNO. Beberapa minggu lepas, kita dikejutkan dengan berita pemergian seorang wakil rakyat daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Dr. Abdul Rahman Mokhtar akibat masalah kesihatan. Peristiwa ini menandakan bahawa berlakunya kekosongan di kerusi DUN tersebut dan sekaligus pilihanraya kecil perlu diadakan. Yang menarik, pilihanraya yang akan berlangsung ini akan menjadi pilihanraya kecil pertama pada penggal ini.


Banyak mata sekarang ini sedang tertumpu di Kuala Besut. Jentera-jentera parti baik dari Pakatan Rakyat (PR) mahupun Barisan Nasional (BN) sudah dikerah untuk memulakan kempen. Di pihak BN, sudah pastinya ia adalah sebuah misi untuk mengekalkan kerusi yang sudah dimenangi. Di pihak PAS pula ia adalah jihad untuk merampas kembali kerusi yang gagal ditawan pada pilihanraya umum lalu. Mungkin kerana ia merupakan pilihanraya kecil yang pertama untuk kali ini, maka tidak sedikit daripada NGO dan orang perseorangan yang menunjukkan minat untuk memerhatikan perkembangan kempen dan pilihanraya di kawasan ini. Kuala Besut, nama yang kurang popular selama ini, serta merta menjadi bualan ramai.


Kuala Besut adalah merupakan sebuah daerah yang terletak di bahagian utara negeri Terengganu dan bersempadan dengan negeri Kelantan pada bahagian barat. Jarak daerah ini daripada ibu negeri iaitu Kuala Terengganu adalah sekitar seratus kilometer dan kebiasaannya mengambil masa tiga jam perjalanan dengan menaiki kereta. Seperti Kelantan yang memiliki Tok Bali sebagai lokasi popular pendaratan ikan, Kuala Besut juga tiada kurangnya. Boleh dikatakan bahawa aktiviti penangkapan ikan telah menjadi kegiatan utama penduduk daerah ini. Hampir 85 peratus daripada tujuh belas ribu penduduk Kuala Besut bekerja sebagai nelayan pantai. Selebihnya menjalankan aktiviti ekonomi kampung lain seperti bertani dan menternak. Oleh kerana kedudukannya terletak di bahagian pantai, maka Kuala Besut juga menjadi lokasi yang menempatkan jeti ke pulau-pulau peranginan berdekatan seperti Pulau Perhentian, Pulau Kapas serta Pulau Redang.


Pertalian orang Besut dengan Kelantan


Dari sudut latar budaya masyarakat, dapat dikatakan bahawa hampir keseluruhan daripada masyarakat yang menempati daerah Kuala Besut dan daerah lain sekitarnya bertutur dalam loghat Kelantan. Persamaan loghat yang dimiliki ini menjadikan mereka lebih selesa apabila bertutur dengan orang Kelantan berbanding dengan orang Terengganu sendiri. Malah disebabkan oleh loghat harian yang lebih pekat kearah Kelantan, maka terdapat juga sesetangah daripada mereka tidak merasa ada pertalian dengan masyarakat yang menempati bahagian-bahagian lain negeri Terengganu. Rasa sebahagian daripada darah dan budaya Kelantan adalah lebih mendahului. Dengan bahasa lain, bau budu Kelantan lebih kuat daripada bau nasi dagang dalam diri mereka.


Rasa pertalian rapat orang Besut dengan saudaranya di sebelah Kelantan tidak semata-mata diperketat oleh bahasa dan dialek, tetapi turut diikat oleh faktor lain juga. Dari sudut ekonomi misalnya, disebabkan oleh faktor geografi mereka yang lebih dekat dengan bandar-bandar dan pekan-pekan utama Kelantan, maka kebanyakan aktiviti ekonomi penduduk Besut berlaku secara dua hala dengan Kelantan. Orang Besut lebih mudah untuk ke pekan Pasir Puteh atau ke Kota Bharu misalnya untuk sebarang urusan harian kerana jarak yang dekat ditambah dengan kemudahan-kemudahan asas yang tersedia dengan lengkap. Sebaliknya, kedudukan Besut yang sedikit jauh dengan pusat ekonomi di Kuala Terengganu menyebabkan hubungan kedua-dua daerah ini kurang aktif.


Berakar daripada faktor geografi yang bersebelahan dan budaya yang kurang lebih sama diamalkan, akhirnya wujud slogan popular yang dicipta oleh orang Besut bagi menggambarkan diri mereka iaitu “Anok Teganung, Klate Pergho” atau “Anak Terengganu, Kelantan Pelihara”. Anak Terengganu yang membawa maksud dijaga secara politik oleh Terengganu, namun dipelihara oleh Kelantan dalam aspek budaya. Malah tidak sedikit daripada anak-anak muda Besut jika diperhatikan menamakan daerah mereka sebagai “Republic of Besut”. Ia seakan-akan bermaksud, bahawa daerah Besut merupakan sebuah wilayah yang berautonomi dan bukanlah sebahagian daripada Terengganu. Perasaan ini setidak-tidaknya akan memisahkan lagi diri mereka daripada Terengganu dan dalam masa yang sama menjadikan mereka lebih merasa sebahagian daripada masyarakat dan budaya Kelantan.


Dari sudut sejarah politik daerah Besut pula, ramai yang cuba untuk menggalurkan sejarah dan asal-usul daerah ini. Walau bagaimanapun, kebanyakan daripadanya hanya dilakukan dalam bentuk lisan. Disebabkan oleh kekurangan bukti-bukti bertulis yang menceritakan sejarah Besut, maka timbullah pelbagai cerita yang bertokok tambah menerangkan asal usul Besut. Catatan bertulis yang mungkin boleh ditemui ialah melalui catatan Abdullah Munsyi dalam kisah Pelayaran Abdullah ke Kelantan, ataupun dengan meneliti buku Tuffatul Nafis tulisan Raja Ali Haji. Walau bagaimanapun, ia tidaklah diterangkan secara terperinci. Namun begitu, terdapat cerita sejarah yang paling popular diperturunkan dari mulut ke mulut berkenaan asal usul Besut sehingga kini. Diceritakan bahawa Besut sebenarnya adalah wilayah yang awalnya dimiliki dan berada dibawah pemerintahan Kelantan. Namun disebabkan oleh peristiwa kekalahan Sultan Kelantan dalam menyabung ayam, maka akhirnya Besut tergadai kepada Terengganu.


Bertitik tolak daripada sejarah lampau inilah, maka secara politik Besut sehingga kini berada dibawah pemerintahan Terengganu dan negeri penyu ini memiliki kuasa keatas pentadbiran. Sekalipun Kelantan tidak memiliki kuasa politik keatas Besut, tetapi nilai budaya Kelantan tetap sahaja mengalir ke daerah itu tanpa disekat – baik soal makanan, bahasa ataupun kesenian adalah dikongsi bersama. Oleh hal yang demikian, walaupun tidak secara politik, tetapi secara budayanya dapat dikatakan orang Besut adalah Kelantan.


Budaya Melayu dan budaya Islam


Walau bagaimanapun, harus diingat juga bahawa, sekalipun “dipelihara” oleh Kelantan dan secara budayanya orang Besut adalah Kelantan, akan tetapi nilai budaya yang dikongsi ini tidaklah dapat dikatakan sama dengan nilai budaya yang dikongsi dengan kebanyakan orang Kelantan pada masa sekarang. Yang dimaksudkan disini ialah, nilai budaya orang Kelantan yang terbentuk setelah sekian lama hidup dan membesar dalam projek Islamisasi (Arabisasi?) PAS.


Secara umum dapat dikatakan bahawa budaya masyarakat Kelantan telah terbahagi kepada dua iaitu masyarakat yang masih kuat dengan budaya tradisi Melayu Kelantan dan masyarakat yang dibentuk hasil daripada proses pentarbiyahan PAS. Kejayaan proses tarbiyah ini tidak hanya dapat dilihat dalam membentuk budaya dan cara hidup, malah turut mempengaruhi corak dan pilihan politik orang Kelantan secara umum. PAS dilihat tidak hanya sebagai sebuah parti politik, tetapi turut dianggap sebagai sebuah representasi kepada agama Islam.


Pada sisi lain, secara politik BN bijak mengambil posisi dan memanfaatkan peluang ini. Pendekatan yang diambil oleh BN selama ini sekurang-kurangnya telah memberi kelebihan kepadanya untuk mencuri hati masyarakat yang masih kuat dengan budaya kemelayuannya. Sikap sederhana BN dalam berhadapan dengan persoalan identiti masyarakat setidak-tidaknya menjadikan parti ini dianggap seperti penyelamat kepada budaya-budaya tinggalan masyarakat Melayu. Hal ini tidaklah hanya dapat dilihat di Besut sahaja, malah di tempat-tempat dan negeri lain sekalipun, ia tetap dijaga. Berbeza dengan pendekatan PAS yang agak keras dan dilihat seakan-akan cuba untuk membawa budaya baru dalam diri masyarakat. Dapat dikatakan secara umum bahawa orang Besut ini sebenarnya masih “Melayu” – sama Melayunya dengan sisa-sisa orang Kelantan yang masih belum dibungkus oleh “jubah-jubah arab” PAS.


Salah satu perkara yang boleh dijadikan penanda bahawa berbezanya Melayu Besut ialah seni budaya, adat melayu, muzik tradisional Melayu masih segar berkembang di Besut. Wayang Kulit, Mak Yong, Menora dan Main Puteri misalnya masih kuat dipraktikkan di daerah ini. Pemeliharaan kekayaan budaya tradisi ini bukanlah semata-mata wujud hanya untuk menjadi bahan tarikan pelancongan, tapi kekal disebabkan ia dipelihara dan dipraktikkan secara asli oleh masyarakat daripada bawah. Kesenian tradisi ini seolah-olah menjadi simbol identiti kemelayuan yang masih kuat bagi masyarakat daerah Besut. Harus diingat juga bahawa replika cangkir, bahtera dan taman-taman indah “kerajaan langit” Ayah Pin turut pernah berdiri teguh di Besut.


Di Kelantan suatu ketika dahulu, nilai budaya tradisional Kelantan sebenarnya turut terpelihara. Banyak kekayaan tradisional seperti Wayang Kulit dan Mak Yong yang menjadi alat penghibur masyarakat dimainkan dimerata-rata tempat. Ritual perubatan muzik seperti Main Puteri misalnya sekalipun memiliki unsur-unsur pemujaan tetap bebas dipraktikkan. Walau bagaimanapun, setelah difatwakan sebagai khurafat dan haram, permainan-permainan ini mula mencari tempat hidup baru sehingga terpaksa lari pulang ke kawasan-kawasan sempadan seperti selatan Thailand dan tidak terkecuali, daerah Besut. Sehingga sedikit demi sedikit kebudayaan ini ditinggal dan dilupakan oleh masyarakat Kelantan sendiri. Mereka mulai bertukar minat dan dalam masa yang sama cara hidup juga turut berubah.


Sekalipun dianggap sebagai “anak peliharaan Kelantan”, memahami cara hidup dan corak politik orang Besut tidaklah semudah seperti memahami cara hidup dan corak politik orang Kelantan kebanyakan. Jika PAS merasa yakin akan memenangi hati orang Besut, pastinya itu harus dipertanyakan lagi. Hal ini kerana, orang Besut yang ada pada hari ini sebenarnya boleh dianggap sebagai orang yang secara politiknya telah terselamat daripada projek-projek politik PAS selama ini.

Comments


bottom of page