top of page
Izzuddin Ramli

Kesunyian dan Media Sosial

Di sini, suara-suara bertanding untuk mendapatkan perhatian dan tindak-balas.

Buat kesekian kalinya kita terkunci di rumah. Bagi kebanyakan orang, tempoh kurungan ini adalah peluang untuk memencilkan diri dan bersanggama dengan kesunyian. Dalam kesendirian dan kesunyian, kita membuka gerbang untuk menapak ke dalam, merenung, dan memahami hakikat diri sebagai manusia. Di sini, waktu seakan-akan terhenti dan ia mengajak kita untuk mengimbas sejenak ke belakang, dan mengatur jalan ke depan.


Jauh ke dalam sunyi dan kesendirian, kita berkelahi dengan bahasa dan menemui metafora-metafora untuk mengungkapkan diri. Begitu yang dilakukan oleh ramai penyair dan penulis. Penyair Indonesia, Sapardi Djoko Damono misalnya mengungkapkan, “Sunyi itu menyentuh. Dalam sunyi, saya bisa dengarkan bunyi-bunyi yang paling lembut, termasuk bunyi dari tubuh sendiri.” Malah, Franz Kafka, novelis asal Prague lebih dalam mendakap kesunyian. “Saya memerlukan kesendirian untuk menulis; bukan ‘seperti pertapa’ — itu tidak cukup — tetapi seperti orang mati.”


Namun, hidup terpencil dalam kurungan secara paksa tidak selalunya menghadirkan sunyi dan kesendirian, apatah lagi ketika banyak urusan kehidupan sudah beralih ke atas talian. Kesunyian mungkin terjadi di pekan-pekan dan jalan-jalan di kota pada saat ini. Bagi kebanyakan orang lain, terperuk di rumah bermakna memasuki suatu alam yang penuh dengan kebisingan. Kita terkurung di alam media sosial yang tidak pernah diam dengan sahut-sahutan sehingga kesunyian akhirnya seakan-akan menjadi barang langka.


Alam Tak Berpenghujung


Hakikatnya, media sosial adalah tempat untuk mempertautkan kembali hubungan-hubungan yang pernah terputus. Itu yang dibayangkan oleh Mark Zuckerberg atau Jack Dorsey ketika membangunkan Facebook dan Twitter — antara laman sosial yang kini tidak hanya menjadi persinggahan tetapi tempat menetap bagi ramai orang. Teknologi hari ini mendekatkan yang jauh dan merapatkan yang dekat. Untung, pada waktu wabak seperti sekarang, ruang-ruang ini memberi jalan untuk kita bertanya khabar orang lain walaupun tidak semestinya bertentang mata.


Walau bagaimanapun, di media sosial, kita memasuki sebuah alam yang tidak berpenghujung. Di dalamnya, ruang dan waktu seakan-akan mencair. Kita tidak lagi mengenal siang dan malam sebagai tanda waktu manusia bekerja dan berehat. Yang terpapar saat kita melangkah masuk ke dunia tidak berbatas ini adalah simpang-siur maklumat, berita, atau raungan yang menuntut perhatian. Malah, tidak pernah kita bayangkan akan kemampuan untuk mengikuti banyak perbualan dalam satu masa.


Sudah tentu, seperti pelbagai teknologi buatan manusia yang lain, media sosial ibarat pisau bermata dua. Pada satu sisi, ia mungkin menyambung kembali perhubungan manusia, dan kita — yang hidup di setiap penjuru dunia — merasa seperti sebuah masyarakat global. Pada sisi lain, media sosial menjadi alat pengeras suara untuk sekian banyak pendapat yang dahulunya terpencil dan tidak mampu diungkapkan.


Barangkali, yang turut menyusul dari kecepatan perkembangan teknologi telefon pintar dan Internet adalah keruntuhan wibawa atau autoriti. Kewibawaan yang pada suatu ketika dimiliki oleh media tradisional seperti surat khabar kini melebur dan menyebar di media sosial. Setiap orang memiliki hak dan peluang yang sama untuk menyampaikan maklumat dan mencetuskan pelbagai wacana dalam masyarakat. Sekalipun bukan sebagai pakar, media sosial membuka ruang untuk kita bersuara dan berpendapat tentang segala macam hal semahunya.


Keruntuhan wibawa ini juga akhirnya merancakkan lagi demokrasi. Rakyat kini memiliki wewenang yang lebih luas untuk membuat atau mempengaruhi keputusan-keputusan penting, bukan sekadar menyerahkan segalanya kepada segelintir orang di tampuk pemerintahan. Namun, dalam kerancakan demokrasi di media sosial, kita turut berhadapan dengan kebisingan — seperti kebisingan yang terhasil ketika para pemuzik orkestra menala alatan muzik sebelum memulakan persembahan. Bunyinya pincang tidak bermelodi. Perbincangan-perbincangan yang kononnya berisi, rintihan-rintihan kekecewaan, kemarahan, dan sebagainya bercampur-aduk di pentas media sosial.


Malah, dalam kebisingan alam tidak berpenghujung ini, kita bertembung dengan hakikat bahawa hayat suara dan perhatian kita terus-menerus memendek. Di sini, suara-suara bertanding untuk mendapatkan perhatian dan tindak-balas. Yang malang, kegagalan untuk mendapatkan perhatian akan membuka risiko untuk tenggelam, hilang, dan menjadi tidak relevan.


Jangan-jangan orang ingin lari dari kesunyian ketika mereka ke media sosial. Rasa bingit sunyi kadang-kala menjadi pintu untuk pelbagai masalah lain: gemuruh, tekanan, dan sebagainya. Namun, media sosial belum tentu menjadi pengubat. Malah, ada kesunyian lain yang turut menanti, lebih-lebih lagi kalau media sosial dijadikan pengganti kepada perhubungan-perhubungan di luar talian. Biarpun dalam keramaian dan kebisingan, kita mungkin tetap akan rasa terasing dan tidak didengari.


Mengembalikan Kemanusiaan


Hidup dalam kurungan fizikal adalah perkara yang tidak selalu diinginkan, apatah lagi jika kurungan terjadi secara paksa. Namun, kurungan paksa seperti ini setidak-tidaknya membuka peluang untuk kita melakukan pengasingan ke dalam diri (internal exile). Kita memisahkan diri dari dunia buat seketika dan merenung, baik tentang hakikat diri mahupun cara kita melayari dunia media sosial.


Dalam kurungan, kesunyian yang dicari — seperti yang sudah ditemui oleh Kafka atau Sapardi — adalah kesunyian yang lebih rela dan bermakna. Pada waktu ini, kita merenung bahawa teknologi tidak semestinya mampu untuk menggantikan keajaiban hubungan-hubungan manusia di luar alam maya yang lebih bersifat peribadi. Dalam kesunyian, kita memikirkan tentang bagaimana pertemuan-pertemuan empat mata telah terabai ketika pandangan sudah terlekat di layar telefon.


Sudah pasti kita bukan menolak teknologi, atau dalam hal ini media sosial. Pengasingan ke dalam diri sebaliknya lebih memperluaskan dunia. Malah, dalam keheningan ini, kita menumpukan segenap perhatian terhadap deria-deria — baik sentuh, hidu, atau tatapan mata — yang hilang dalam dunia yang diperantarakan oleh teknologi secara berlebihan. Teknologi pasti boleh mempercepatkan kemajuan dan mempermudahkan manusia dalam banyak hal. Akan tetapi ianya tidak mungkin atau tidak seharusnya menghapuskan kemanusiaan.


Commentaires


bottom of page